Tutup

Guru didakwa terlibat kumpulan LTTE

Guru didakwa terlibat kumpulan LTTE
Seorang guru sekolah menengah kebangsaan, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). - Foto BERNAMA
SEPANG: Seorang guru lelaki yang ditahan selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini kerana memiliki barangan berkaitan kumpulan terbabit.

Guru sekolah menengah kebangsaan, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, itu pada 12 Oktober lalu sekitar jam 2.30 petang telah ditahan di kediamannya setelah beberapa barangan berkaitan kumpulan itu ditemui.
Dia dituduh mengikut seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda.

Hakim Saiful Akmal Mohd Said turut menolak permohonan peguam, Kirthiraj Raja Sundram yang mewakili tertuduh untuk memohon anak guamnya diikat jamin.
"Mahkamah tidak terima jaminan kerana di bawah (SOSMA) jaminan tidak dibenarkan, jaminan hanya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi," katanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi turut membantah permohonan peguam berkenaan atas alasan sama.

Permohonan ikat jamin dibuat ekoran faktor kesihatan tertuduh yang menghidap penyakit kencing manis selain perlu hadir ke hospital untuk menerima rawatan susulan.

Menurut peguam, satu lagi pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tertuduh kerana memuat naik kenyataan berkaitan LTTE di laman sosial Facebook.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 16 Disember untuk sebutan semula kes.


Tag: Mahkamah Sesyen, Sepang, pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam, LTTE, Sundram Renggan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.