Seorang guru yang pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan seks luar tabii dan cabul terhadap seorang pelajar sekolah, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, di sini hari ini atas tuduhan yang sama terhadap tiga pelajar lain yang berumur antara 14 dan 17 tahun, tahun lalu.

Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua 19 pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii, dengan melakukan seks oral terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun.

Enam pertuduhan itu didakwa mengikut seksyen 377b Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Duda tanpa anak tersebut turut didakwa telah mencabul dua pelajar berusia 14 dan 17 tahun.

Dia didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibicara bersama mengikut seksyen 16(1) akta yang sama.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Dia turut dituduh dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan meliwat pelajar berusia 17 tahun terbabit.

Pendakwaan itu dilakukan mengikut seksyen 377b Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah dan premis di Gerik antara jam 2 pagi dan 11 malam pada 14 September 2017 hingga 25 Mac 2018.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Sharul Shabaath Ali.

Rohaida kemudiannya menolak permohonan peguam untuk mencagarkan geran tanah sebagai jaminan berikutan mahkamah hanya menerima deposit tunai.

Rohaida bagaimanapun membenarkan jaminan sejumlah RM38,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 April lalu, tertuduh yang telah berkhidmat selama 19 tahun, pernah dihadapkan di mahkamah sama atas 17 pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap pelajar 15 tahun pada November 2016 hingga November 2017.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan berjumlah RM48,000 dengan seorang penjamin.