Tutup

Guru lemas ketika sertai aktiviti water rafting

Guru lemas ketika sertai aktiviti water rafting
Ahmad Khairudin dihanyutkan arus selepas bot yang dinaikinya bersama enam lagi dikatakan terlanggar tebing lalu terbalik. -Gambar hiasan
GOPENG: Seorang guru lemas ketika menyertai aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang, dekat sini, pada petang Sabtu.

Ahmad Khairudin Ayob, 47, guru Sekolah Kebangsaan Limbongan, Melaka dihanyutkan arus selepas bot yang dinaikinya bersama enam lagi dikatakan terlanggar tebing lalu terbalik kira-kira 5.10 petang.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata sebelum itu mangsa menyertai konvoi berkereta dan bermotosikal melibatkan 19 orang iaitu 15 lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak.

Menurutnya, 15 orang daripada mereka telah mengikuti aktiviti ‘water rafting’ yang dikendalikan sebuah syarikat rekreasi di Kampung Jahang dengan menggunakan tiga buah bot dari Kuala Razila.
“Mangsa menaiki bot yang kedua dan berlepas pada lebih kurang 5 petang dan selepas 10 minit aktiviti tersebut, bot yang dinaiki si mati telah terbalik lebih kurang 500 meter dari tempat pelepasan.

“Mangsa terus dihanyutkan lebih kurang satu kilometer sebelum dapat diselamatkan oleh krew bot pertama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hasron Nazri berkata salah seorang krew telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi tiada sebarang respon daripada mangsa yang kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Gopeng.

“Pemeriksaan fizikal ke atas mayat si mati tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah untuk disabitkan dengan kematian ini.

“Siasatan mendapati air Sungai Jahang ketika kejadian berlaku adalah deras kerana cuaca hujan sebelum itu.

"Aktiviti adalah atas permintaan peserta dan langkah keselamatan yang sewajarnya seperti jaket keselamatan, helmet dan taklimat sebelum memulakan aktiviti telah diambil,” ujarnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat.