Tutup

Guru maut, kereta rempuh pembahagi jalan

Guru maut, kereta rempuh pembahagi jalan
KUANTAN: Guru wanita maut selepas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dinaikinya merempuh besi pembahagi jalan di Jalan Kuantan-Kemaman dekat Taman Pelindung, di sini, petang Sabtu.

Kejadian jam 5.30 petang itu mengakibatkan mangsa Nurul Arifah Talha, 37, dari Sungai Soi, maut ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, kejadian berlaku ketika MPV yang dipandu  suami mangsa Mohd Junaidi Othman, 36, dari arah Kemaman, Terengganu menuju ke Kuantan.

"Bagaimanapun,  sampai di tempat kejadian,  kenderaan berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar besi pembahagi jalan.
"Akibat pelanggaran itu mangsa yang duduk di sebelah penumpang hadapan parah dan dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.20 malam tadi,” katanya di sini, hari ini.

Katanya,  suami dan anak lelaki mangsa Ahmad Dhaifullah Nazir Mohd Junaidi, 4, turut cedera manakala anak perempuan mangsa Nur Damia Adriana, 9, yang duduk di bahagian penumpang belakang tidak mengalami kecederaan.

"Kesemua mangsa yang cedera kini dilaporkan stabil. Jenazah mangsa yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Mat Kilau akan diserahkan kepada ahli keluarganya sebaik urusan bedah siasat selesai dilakukan,” katanya.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tag: Kuantan, maut, guru