Guru nafi hisap kemaluan pelajar

Guru nafi hisap kemaluan pelajar
Tertuduh, Ahmad Muzamil Pandak didakwa melakukan kelucahan melampau dengan menghisap kemaluan kedua-dua mangsa yang juga pelajarnya empat tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
AYER KEROH, MELAKA: Seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Klang, Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal yang bertentangan dengan aturan seks tabii terhadap dua murid lelakinya, empat tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Muzamil Pandak, 31, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau dengan menghisap kemaluan kedua-dua mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun di sebuah inap desa di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh antara pukul 2 hingga 3 pagi, 24 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan keempat, tertuduh turut melakukan tindakan sama terhadap kedua-dua mangsa di inap desa sama, antara pukul 2 hingga 3 pagi keesokannya, 25 oktober 2015.

Tertuduh yang mengajar subjek pendidikan jasmani dan kesihatan itu didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mazuin Hashim mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kedua-dua mangsa merupakan pelajar kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira tertuduh pernah didakwa atas kes sama dan baru sahaja memulakan tugas pada awal November lalu selepas digantung kerja.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain tidak dibenarkan mendekati mangsa mahupun keluarga.

Mahkamah turut menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Tag: guru sekolah, seks tabii, pelajar, Ayer Keroh, Melaka



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.