Seorang bapa mendakwa anaknya mengalami tekanan emosi selepas dibelasah oleh guru kerana satu kesalahan iaitu mengubah suai basikal.

Dakwa Jamsari Mohd Hassan, anaknya Khairul Najwan yang merupakan murid tahun enam sebuah sekolah di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, dipukul dan dipijak oleh guru terlibat.

Apa yang lebih mengejutkan katanya, guru tersebut mempertahankan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai hak seorang guru untuk 'mengajar'.

"Hanya kerana bawa basikal yang 'handle' (gagang) telah diubah suai, cikgu boleh pukul dan pijak anak saya sebegini?

"Saya sangat terkejut dan saya juga bertanya kepada guru itu, adakah beliau cuba mengajar atau mendera?" kata Jamsari semasa ditemui media di kediamannya di sini, siang tadi.

Sementara itu, Khairul Najwan ketika menceritakan semula apa yang berlaku turut memaklumkan guru berkenaan telah merawatnya selepas dipukul dan dipijak.

Malah kanak-kanak berusia 12 tahun itu berkata, guru tersebut turut berpesan supaya dia tidak memaklumkan perkara itu kepada pihak keluarga.

Susulan itu, Jamsari telah membuat satu laporan polis Khamis lalu dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes itu.

Menurutnya, pihak polis akan menjalankan siasatan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mohd Zain turut memaklumkan Jabatan Pendidikan Kedah sedang menyiasat dakwaan pelajar tersebut.

Beliau berkata jabatan tersebut akan menyerahkan laporan siasatan kepada kementerian pendidikan untuk tindakan selanjutnya mengikut prosedur sedia ada.