Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM80,000 serta menangkap dua wanita tempatan termasuk seorang guru tadika swasta dipercayai pengedar dadah semalam.

Timbalan Ketua Polis Miri Supt Stanley Johnathan Ringgit berkata, kedua-dua wanita tersebut adalah warga tempatan berumur 32 dan 36 tahun dengan pelbagai dadah dianggarkan lebih 400 gram dirampas dalam serbuan dilakukan pada pukul 1 tengah hari.

"Dadah yang dirampas ialah jenis syabu dan pil ekstasi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Stanley berkata, kedua-dua dadah tersebut dirampas di dalam kereta Perodua Myvi milik seorang daripada suspek dan ditemukan di dalam sebuah rumah sewa suspek di Vista Perdana, Permyjaya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Stanley berkata, polis menahan seorang wanita warganegara Indonesia dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menyembunyikan dadah di dalam colinya.

"Suspek berusia 26 tahun dan didapati menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 30.06 gram yang dibungkus dalam peket kecil bernilai RM3,000 di dalam coli yang dipakainya," katanya.

Beliau berkata, kegiatan suspek terbongkar apabila suspek mengadu sakit perut dan dikejarkan ke Hospital Miri pada 10.44 malam Ahad lepas.

Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, dadah tersebut ditemukan disembunyikan di dalam coli suspek oleh pegawai perubatan di Hospital Miri.

"Suspek kini sedang mendapat rawatan untuk kandungan di luar rahim dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.

-- BERNAMA