Impian anak-anak muda dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tempatan untuk menceburi bidang politik akhirnya mampu direalisasikan selepas usul menurunkan had umur mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada usia 18 tahun diluluskan di Sabah.

Dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada hari ini, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2019 itu diluluskan dengan sokongan 57 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pindaan itu dibentangkan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar diluluskan selepas bacaan kali ketiga di DUN Sabah, pada hari ini.

Kelulusan itu sekali gus menyaksikan Sabah sebagai negeri pertama yang membenarkan had umur diturunkan kepada 18 tahun di negara ini.

Aidi dalam sidang medianya selepas pembentangan RUU di DUN Sabah berkata, Sabah merupakan negeri pertama yang menyahut seruan Perdana Menteri agar had umur mengundi dan menjadi calon pilihan raya diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Sabah adalah merupakan negeri pertama menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri supaya perlembagaan negeri juga dipindah dan pada hari ini sokongan dua pertiga daripada Ahli Dewan telahpun meluluskan pindaan rang undang-undang berkenaan.

“Rang Undang-undang ini selaras dengan Akta Umur Dewasa tahun 1971 dan ini juga selaras dengan takrifan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kebanyakan seluruh dunia sudah turunkan had umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun," katanya.

Beliau berkata, pindaan tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memastikan anak-anak muda terlibat sama dalam hal penggubalan dasar dalam negeri.

“Ini menggambarkan kerajaan yang ada pada hari ini prihatin dengan peranan anak-anak muda di Sabah ini supaya mereka juga terlibat dalam penggubalan dasar di peringkat negeri," katanya.

Untuk rekod, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon pada bulan Julai lalu.