Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa Berssatu (PBB) berkata kerajaan Malaysia menuju hala tuju yang betul berhubung usahanya untuk menaikkan had umur minimum untuk berkahwin yang sah di sisi undang-undang kepada 18 tahun.

Maud de Boer-Buquicchio, Pelapor Khas badan dunia itu bagi perdagangan dan eksploitasi kanak-kanak bagi tujuan seksual berkata beliau dapat melihat isyarat positif berhubung isu itu berdasarkan perbincangan beliau dengan kementerian dan agensi kerajaan yang relevan.

"Apa yang pasti wujudnya iltizam politik dalam perkara ini," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.

Beliau kini dalam rangka lawatan lapan hari di Malaysia untuk mengumpul input dan data berhubung isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dengan beliau akan turut melawat Sabah selain Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan 18 tahun adalah umur minimum yang sah di sisi undang-undang untuk berkahwin.

Pegawai PBB itu bagaimanapun mengakui untuk meminda undang-undang relevan di Malaysia adalah tugas yang agak sukar berdasarkan perkara itu terletak di bawah bidang kuasa syariah dan sivil.

"Tetapi ia mesti dilakukan. Ia memerlukan banyak usaha. Lebih baik dilakukan lebih awal daripada kemudian," katanya.

Dilaporkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang bekerjasama dengan Menteri yang dipertanggungjawab bagi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof untuk menaikkan umur minimum untuk berkahwin yang sah di sisi undang-undang dalam semua undang-undang relevan kepada 18 tahun.

Perkara itu timbul susulan kritikan orang ramai berhubung sejumlah kes kanak-kanak yang berkahwin dilaporkan di negara ini.

Pelapor Khas PBB bagi perdagangan dan eksplotasi kanak-kanak bagi tujuan seksual diberikan mandat untuk menganalisis punca perdagangan dan eksploitasi kanak-kanak bagi tujuan seksual dan mengenal pasti corak baharu fenomena itu.

Beliau juga diberikan mandat untuk bertukar-tukar amalan baik untuk memeranginya, menggalakkan langkah-langkah untuk mencegahnya dan mengemukakan cadangan bagi pemulihan kanak-kanak yang menjadi mangsa perdagangan dan eksploitasi seksual.

-- BERNAMA