Wartawan Astro AWANI, Rahimah Abdullah, dan jurukamera, Mohamad Noor Fitri Mohamed Zainuri, terpilih sebagai pemenang salah satu kategori dalam anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia-Malaysia Press Institute 2018.

Mereka dipilih berdasarkan laporan cemerlang bertajuk Janda Baik Perlu Diselamatkan dan Sungai Benus 'Melompat' ke Sungai Paling Kotor untuk kategori Berita Video Terbaik.

"Apa yang membanggakan adalah laporan saya berkenaan alam sekitar diiktiraf. Ini menunjukkan kita sebagai wartawan juga mempunyai peranan yang sangat besar dalam usaha menyelamatkan alam sekitar," kata Rahimah yang ditemui pada majlis itu yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.

Mereka membawa pulang sebuah trofi dan wang RM10,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro AWANI, Suhaimi Sulaiman turut menerima Anugerah Khas Juri atas kecemerlangan beliau menjadikan AWANI sebagai saluran berita paling disegani di tanah air.

"Anugerah ini adalah untuk transformasi sebuah saluran berita. Tetapi penghargaan sebenar bukanlah untuk saya seorang tetapi seluruh warga kerja Astro AWANI," ujarnya.

Anugerah Tokoh Wartawan diberikan kepada Tan Sri Johan Jaafar, yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Seperti sebelum ini, edisi kali 38 ini juga berlangsung serentak dengan Malam Wartawan Malaysia, menyaksikan 15 kategori dipertandingkan, termasuk tiga anugerah khas.

Berikut adalah siri laporan khas Rahimah Abdullah berkaitan isu pencemaran yang secara langsung menjejaskan kualiti sungai: