Tiada halangan bagi ahli UMNO menyertai perhimpunan kumpulan "baju merah" atau Himpunan Melayu Bersatu yang dijadualkan berlangsung pada 16 September ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun perhimpunan itu dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli UMNO boleh hadir jika dijemput menyertainya.

"Perhimpunan itu dianjurkan pihak NGO dan NGO itu akan menjemput UMNO untuk turut hadir," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Baginya, penglibatan ahli UMNO dalam perhimpunan tersebut adalah hak individu.

"Saya fikir, itu hak individu kepada ahli UMNO berkenaan," katanya.


Mengenai perhimpunan itu yang dikatakan tidak mendapat kebenaran polis, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis.

"Dari segi operasi kita serahkan 100 peratus kepada pihak polis untuk melakukan tindakan terutamanya dari segi memberikan permit perhimpunan berkenaan dan juga melakukan penguatkuasaan jika permit diberikan," tambahnya.