SETIAP manusia berhak untuk melindungi kesihatan mereka serta menghirup udara yang segar, bersih, dan bebas daripada sebarang pencemaran termasuklah pencemaran yang datang daripada asap rokok.

Umum telah pun ketahui mengenai bahaya yang dibawa oleh rokok. Bahaya rokok ini bukan sahaja boleh berlaku terhadap diri perokok itu sendiri malah boleh turut juga melibatkan orang sekeliling melalui asap rokok yang dihasilkan. Perkara ini telah pun disahkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri hasil daripada pelbagai kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan oleh mereka selama bertahun - tahun.

Tidak terdapat peruntukkan yang jelas yang menyatakan bahawa perokok mempunyai hak untuk merokok sama ada dibawah Perlembagaan Persekutuan ataupun dibawah Peristiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Isu ini juga telah banyak kali dibangkit di beberapa buah negara di Eropah. Namun segala usaha untuk mengaitkan isu merokok dengan hak asasi manusia menemui kegagalan.

Apa yang paling penting ialah hak untuk menjaga kesihatan serta melindungi alam sekitar daripada kesan asap rokok. Berdasarkan perkara ini, apa yang paling jelas kini hanya lah hak untuk setiap manusia untuk hidup dalam persekitaran dan udara yang bersih serta hak untuk melindungi kesihatan mereka.

Ini jelas termaktub dibawah Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC, WHO) yang telah ditandatangani dan disahkan oleh Malaysia pada Disember, 2005. Artikel 8 (FCTC, WHO) memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap anggota parti termasuk Malaysia, adalah komited untuk mengambil tindakan melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok yang boleh mengancam kesihatan mereka.

Buat sekian lama, Malaysia telah pun mengambil beberapa langkah drastik dalam perkara ini melalui pengistiharan beberapa buah kawasan yang dilarang untuk merokok seperti yang termaktub dibawah Peraturan - Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Mulai 1 Januari 2019, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini. Arahan larangan merokok berkenaan bukan sahaja membabitkan semua restoran dan premis makanan malah turut meliputi warung - warung makanan di tepi jalan.

Tindakan undang – undang akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan yang baru dikuatkuasa terbabit mengikut Peraturan - Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Terdapat banyak lagi kawasan larangan merokok di Malaysia seperti yang telah diperuntukkan dibawah Peraturan 11, Peraturan – Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281] seperti dalam mana - mana kawasan taman awam kecuali tempat letak kereta awam terbuka, dalam mana – mana kawasan awam yang digunakan untuk tujuan keagaaman, di mana – mana kawasan taman asuhan kanak – kanak, dalam mana – mana kawasan premis kerajaan, dalam mana - mana menara cerapan, tapak perkhemahan, titian kanopi dan lima meter dari laluan masuk atau keluar titian kanopi dalam taman negara atau taman negeri, di dalam mana – mana tempat hiburan atau teater, kecuali mana – mana disko, kelab malam atau kasino, di dalam mana – mana kawasan hospital atau klinik, di dalam mana – mana lif atau tandas awam, di dalam mana – mana tempat makan atau kedai berhawa dingin, di dalam mana – mana kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, di dalam mana – mana tempat kerja berhawa dingin dengan suatu sistem hawa dingin berpusat, di dalam mana – mana bas sekolah, di dalam mana – mana lapangan terbang, di mana – mana kawasan kafe internet, di mana – mana kawasan khidmat negara, di mana – mana kawasan perpustakaan, di mana – mana bangunan atau tempat permainan kanak – kanak atau taman, di mana – mana kawasan kompleks membeli belah, di mana – mana kawasan stesen minyak, di mana – mana kawasan yang digunakan untuk aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman, di mana – mana kawasan stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gymnasium, di mana – mana kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi, dan di mana - mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan dalam bangunan.

Kawasan larangan merokok dalam negara kita adalah luas. Pihak kerajaan juga ada menyatakan hasratnya untuk memperluaskan skop kawasan larangan merokok ini dari masa ke semasa di masa depan. Pihak kerajaan tidak seharusnya melayan kerenah para perokok yang akan sentiasa mempertikaikan hasrat murni pihak kerajaan untuk membendung tabiat merokok. Pihak kerajaan harus terus mengambil langkah berani, tegas dan konsisten dalam melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selamat daripada rokok serta pencemaran asap yang dihasilkan oleh rokok.



* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI