Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun hadapan berperanan besar dalam membentuk visi baharu hala tuju kesemua 21 negara anggota itu.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria berkata selepas pasca Matlamat Bogor, kini ia menjadi peluang kepada Malaysia untuk menunjukkan kepimpinannya.

"Untuk melihat kepada kepentingan APEC dan membawanya kehadapan, ia adalah satu kesinambungan tentang apa yang telah dilakukan seperti pembangunan inklusif, integrasi ekonomi serantau dan reformasi struktural.

"Apabila kita melihat kepada apa yang berlaku dalam suasana global, antara yang perlu menjadi fokus termasuk reformasi perundangan dan struktural supaya perniagaan lebih mudah dilakukan.

"Pada satu tahap, APEC telah berjaya menjadikan perniagaan lebih mudah, murah dan cepat," katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan ucapan pada sesi pembentangan Laporan Analisis Trend Serantau APEC Edisi November 2019 bertajuk ‘Pertumbuhan Perlahan, Cabaran Besar’ secara sidang atas talian bersama media antarabangsa di Ibu Pejabat APEC berpangkalan di Singapura hari ini.

Rebecca, yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia, berkata berdasarkan Laporan Menjalankan Perniagaan (EODB), ekonomi APEC dilihat lebih baik daripada negara lain.

"Ini merupakan satu peluang kepada Malaysia dengan kerjasama negara lain untuk terus kehadapan dari pelbagai aspek seperti integrasi ekonomi serantau berteraskan reformasi struktural, reformasi perundangan.

"Ia termasuk melihat aspek lain seperti bekerjasama dan membantu pembangunan ekonomi wanita selain pembangunan inklusif bagi industri kecil dan sederhana (IKS).

"Banyak sebenarnya peluang kepada Malaysia untuk memastikan segala inisiatif ini dijayakan berada dihadapan termasuk secara mendalam dan meluas dalam segala aspek integrasi ekonomi serantau," ujarnya.

Pada 1994, selepas mesyuarat pemimpin APEC di Indonesia, di bandar Bogor, mereka mengumumkan persetujuan terhadap 'matlamat jangka panjang pelaburan serta perdagangan bebas dan terbuka di Asia Pasifik' dan menetapkan tarikh akhir 'tidak lewat dari 2020'.

Sejak itu, aspirasi bersama tersebut dinamakan Matlamat Bogor.