47 Orang Asli Gua Musang yang terdiri daripada dua kumpulan, direman selama dua dan tiga hari atas dakwaan menghalang kerja-kerja pembalakan.

Majistret, Mohd Faiz Omar menetapkan 17 penduduk Orang Asli dari kumpulan pertama direman dua hari sementara baki 30 yang lain selama tiga hari.

Kesemua penduduk Orang Asli terlibat dibawa ke Mahkamah Majistret Gua Musang kira-kira jam 9.30 pagi sebelum dibahagikan kepada dua kumpulan untuk perintah reman.

Prosiding selesai pada jam 11.30 pagi dan kesemua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis dDerah Gua Musang untuk diambil keterangan.

Kedua-dua kumpulan terbabit sebelum ini dikatakan telah membina sekatan bagi menghalang aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Balah dan Perias yang berlarutan sejak September lalu.

Sekatan itu berakhir sebaik kumpulan terbabit ditahan pihak berkuasa termasuk merobohkan sekatan yang dibina di Simpang Petei, Pos Tohoi dan Kampung Peralong, Pos Bihai.

Mereka terlibat ditahan mengikut Seksyen 32, Seksyen 47 dan Seksyen 81 Enakmen Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh dan menduduki kawasan Hutan Simpan Tanpa Kebenaran.