Cuaca panas sehingga 36 darjah Celsius tidak menghalang hampir 2,000 peserta Perhimpunan Bantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (#BantahGST) untuk berhimpun di Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan yang dianjurkan Parti Amanah Negara (Amanah) bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bermula pada jam kira-kira 2 petang apabila mereka mula berarak ke kompleks beli-belah Sogo, sebelum berkumpul di beberapa hentian, iaitu di Jalan Sultan, Pasar Seni dan Masjid Kampung Baru, di sini.

Kebanyakan peserta memakai baju-T hitam, sambil membawa plakad dan melaungkan slogan "Mansuh GST".

Objektif perhimpunan ini bagaimanapun dilihat samar apabila kebanyakan pemimpin yang berucap membangkitkan beberapa isu di luar persoalan GST seperti menuntut pembebasan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru peserta menandatangani Deklarasi Rakyat dan peletakan jawatan pemimpin.

Selepas beberapa minit berhimpun di hadapan Sogo, mereka kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka, melalui Jalan Tunku Rahman pada jam kira-kira 2.45 petang, diketuai oleh beberapa pemimpin pembangkang, termasuklah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.


Perhimpunan bantah GST
Bagaimanapun, peserta berkenaan hanya boleh berhimpun di hadapan Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas polis membuat sekatan di Jalan Raja, berhampiran dengan Dataran Merdeka.

Perhimpunan ini turut menyaksikan pemimpin pembangkang memberikan ucapan yang mengecam perlaksanaan GST, termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, Tian Chua, Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Mat Sabu), Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Pilihanraya AMANAH, Dr Hatta Ramli.

Kemuncak perhimpunan ini adalah pada jam kira-kira 5.15 petang, dengan kehadiran mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata beliau berharap perhimpunan yang diadakan ini tidak disia-siakan.

Seusai ucapan Dr Mahathir, perhimpunan berkenaan diakhiri dengan doa, yang diketuai oleh pemimpin kanan, Badrul Amin Baharun.

Himpunan #BantahGST berakhir kira-kira 5.30 petang, tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah ketika ditemui berkata, setakat jam 5.37 petang, tiada tangkapan dilakukan berhubung perhimpunan ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, pula berkata, seramai 1,800 peserta telah menyertai perhimpunan tersebut.