Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes penipuan menerusi panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun lepas dan tahun ini amat membimbangkan dengan 4,500 kes penipuan dilaporkan melibatkan kerugian RM113.11 juta.

Malah, berdasarkan statistik itu, jumlah kes pada 10 bulan pertama tahun ini meningkat berbanding tempoh keseluruhan tahun lalu.

Kes penipuan menerusi panggilan dan SMS sehingga Oktober 2017 berjumlah 3,069 kes, bertambah 112 peratus berbanding tahun lalu sebanyak 1,461 kes.

Jumlah kerugian pula bertambah 66 peratus kepada RM70.5 juta ringgit berbanding RM42.6 juta tahun lalu.

Astro AWANI baru-baru ini melaporkan seorang lelaki mengadu menerima panggilan yang meragukan apabila dia dituduh terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah setelah menerima panggilan oleh seorang individu yang mengaku dirinya sebagai pegawai polis.