Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin mendedahkan terdapat sesetengah syarikat kawalan keselamatan yang diurus oleh kumpulan kongsi gelap.

Agensi bukan kerajaan, Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) mengakui perkara tersebut berlaku berikutan terdapat pembabitan kongsi gelap melalui pemajakan lesen.

Sehingga kini, lesen yang membabitkan hampir 80 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara telah dipajak kepada beberapa kumpulan kongsi gelap.

Menurut Presiden PPKKM Datuk Sri Mustapa Ali, kebanyakan syarikat berkenaan beroperasi di kawasan perumahan dan pembinaan.

Jelasnya, tindakan memajak lesen itu berlaku walaupun pemegang saham syarikat kawalan keselamatan berkenaan terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat dalam organisasi polis dan tentera.

“Kebanyakan 'bapa angkat' ahli kongsi gelap ini mempunyai sekuriti berlesen tetapi memajak kontrak tersebut kepada pihak ketiga iaitu ahli kongsi gelap yang tidak berlesen atau merupakan kumpulan haram," kata beliau.


Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa turut mendedahkan sejumlah 80 peratus kawasan Lembah Klang termasuk Pelabuhan Klang dan Subang dilindungi oleh kumpulan kongsi gelap.

“Kita sudah maklumkan kepada KDN supaya mengambil tindakan. PPKKM tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dan terserah kepada kementerian untuk bekerjasama dengan pihak polis.

"Biar pihak terbabit mengambil tindakan supaya perkara ini boleh dicegah atau dihapuskan. Kalau tidak diambil tindakan maka semakin serius lagi kes ini," tambah Mustafa.

Mustapa turut berkata sebuah 'task force' bersepadu telah ditubuhkan dengan kerjasama KDN, polis dan pihak Imigresen sejak tiga bulan lepas bagi membanteras masalah kumpulan ahli kongsi gelap dalam syarikat terbabit.

Setakat ini, terdapat lebih 200,000 pengawal keselamatan tempatan dan warganegara Nepal yang sedang berkhidmat di negara ini.