Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Hanna Alkaf dan era baru 'walk the talk'

Hanna Alkaf dan era baru 'walk the talk'
Apabila PKP dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, aktivis sosial mula memikirkan langkah mengendalikan kelangsungan program amal terutama nasib bantuan makanan di jalanan.
DAPUR Jalanan, Kenchara Kitchen Society, Pertiwi Soup Kitchen, Assumption Soup Kitchen, Street Feeder of KL, Charity Right Malaysia, Laskar4Life, Kami Budak ChowKit, The Nasi Lemak Project dan puluhan lagi gerakan aktivis jalanan - menerima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 sebagai satu cabaran.

Apabila PKP dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, aktivis sosial mula memikirkan langkah mengendalikan kelangsungan program amal terutama nasib bantuan makanan di jalanan.
Pertiwi Kitchen Soup antara gerakan aktivis yang terawal di negara ini yang mengendalikan program menyediakan makanan di jalanan.

Projek ini turut menyediakan pakaian kepada gelandangan, kanak-kanak miskin, warga tua terbiar dan pesakit mental yang terabai. Majoritinya di jalanan.
Projek Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) juga komuniti yang dihormati. Projek ini menyediakan makanan pada 300 gelandangan pada setiap Ahad pukul 5 petang.

Lokasi edaran di Jalan Panggung, Kuala Lumpur.

DJKL turut berkolaborasi dengan aktivis Gerak Malaysia yang mengadakan sesi diskusi sastera dan seni di lokasi yang sama.

Kolaborasi ini satu usaha meletakkan kembali suara sastera di tengah masyarakat marhaen Kuala Lumpur. Acara ini menerima respon positif di kalangan anak muda.

Laskar4Life pula mengendalikan projek menyediakan makanan kepada 300 hingga 1,200 gelandangan, penagih dadah, pekerja seks dan warga miskin bandar.

Seed Foundation yang diasaskan aktivis Nisha Ayob bertempat di Jalan Tiong Nam, mengendalikan penyediaan makanan harian dan ruang rehat kepada hampir 40 trangender yang ketiadaan tempat tinggal dan keluarga.

Semua NGO ini mempunyai komitmen terhadap komuniti jalanan di Kuala Lumpur. Selain gelandangan, projek amal ini turut membantu warga miskin bandar.

Pada era Food Not Bomb digerakkan aktivis punk di depan Gereja St John, Jalan Bukit Nenas pada dekad 80-an - majoriti penerima bantuan makanan ialah penagih dadah dan kutu-rayau.

Apabila PKP dikuat kuasa pada 18 Mac lalu, aktivis sosial mula memikirkan langkah mengendalikan kelangsungan program amal terutama nasib bantuan makanan di jalanan.

Selepas tiga dekad - warna kemanusiaan dan konflik kemiskinan berubah di jalanan ibu kota. Pada 2013 hingga 2018, kajian Laskar4Life mengumpulkan data peningkatan 40 hingga 50 peratus penerima bantuan makanan di jalanan ialah miskin bandar.

Ini bukan aneh. Kita menerima hakikat - kebangkitan begitu banyak gerakan aktivis sosial di jalanan - sejajar dengan beban kemiskinan yang ditanggung warga miskin bandar.

*Apa terjadi setelah PKP dilaksanakan?

Arahan PKP turut menghadkan pergerakan NGO di jalanan. Namun, ia realiti yang mesti dipatuhi kerana kita sedang bersatu melaksanakan kerjasama mencegah penularan COVID-19.

PKP ialah arahan kepada orang awam untuk menghadkan pergerakan. Relatifnya -berkurung di rumah.

Kita tertanya-tanya: Apa nasib lebih 1,000 gelandangan di jalanan ibu kota?

Sebagai warga negara, gelandangan juga tertakluk untuk mematuhi PKP. Malah, kita bersetuju tiada kelonggaran bagi sebarang kegiatan berkumpul.

Zon kerja amal di Dataran CIMB Jalan Chow Kit, sekitar Jalan Petaling dan di sisi Wisma Yakin di Jalan Masjid India, turut tertakluk pada arahan pematuhan PKP.

"Kami menghentikan sementara operasi edaran makanan," kata aktivis Laskar4Life, Aniza Mehboob Shah.

Laskar4Life yang menjalankan aktiviti edaran makanan sejak 2012, membekalkan 300 hingga 400 bungkus makanan kepada gelandangan dan miskin bandar di sekitar Chow Kit dan Lorong Haji Taib.

Seperti ratusan rakan aktivis, Aniza juga bimbang memikirkan nasib gelandangan dan warga miskin yang selama ini bergantung pada puluhan projek makanan di jalanan.

"Ada gelandangan yang bergaji kecil tidak mampu menyewa rumah. Mereka ada anak dan bayi. Nasib mereka perlukan perhatian," katanya.

Memandangkan PKP satu pengalaman baru; aktivis jalanan segera mencari jalan untuk terus mengekalkan bantuan tanpa melanggar PKP.

"Aktiviti mengedarkan makanan terdedah pada kontak fizikal. Malah, bahaya sekiranya kita berkumpul di jalanan dan sukar mengendalikan keadaan sekiranya wujud potensi COVID-19. Kami patuh sepenuhnya pada arahan kerajaan," kata Aniza.

Apabila projek kebajikan di jalanan dihentikan, aktivis mencari penyelesaian untuk meneruskan program membantu warga jalanan.

Masyarakat awam mungkin memandang isu bantuan makanan di jalanan sebagai kecil dan remeh. Apa lagi ketika mendepani PKP dan ancaman COVID-19.

Namun, bagi aktivis sosial - kemanusiaan perlu terus hidup dalam apa juga keadaan.


Muncul Hanna Alkaf dan #Kitajagakita

Di tengah kebuntuan itulah, muncul Hanna Alkaf; novelis yang mengubah keadaan.

Hanna melancarkan kempen bebenang digital di media sosial bagi membantu kelangsungan kerja amal.

Hanna nama baru tetapi 'besar' dalam dunia penulisan.

Novelnya ‘The Weight of our Sky’ menerima Anugerah Freeman Book 2019 - kategori Dewasa/ Sastera Sekolah Menengah.

Hanna Alkaf dan novelnya 'The Weight of our Sky'.

Hanna melakukan 'walk the talk' yang penting bagi dunia penulisan. Tanda penulis bersolidariti dengan komuniti. Apa lagi atas nama kemanusiaan.

Hanna, 34 tahun, melancarkan kempen #Kitajagakita; satu inisiatif mengumpulkan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi membantu golongan memerlukan.

Hanna bertindak pantas sebaik sahaja perintah PKP dikuatkuasakan.

Hanna tidak bersendirian - segera menerima sokongan aktivis Pulang Mengundi; komuniti maya yang ikut menyokong program meraih bantuan secara dalam talian.

#Kitajagakita satu respon yang memenangkan suara kemanusiaan. Tanda usaha membantu golongan jalanan, miskin, warga tua dan kanak-kanak diteruskan dalam 'mod merah' PKP.

Saya tidak mengenali Hanna secara peribadi. Cuma pada 24 Januari lalu, Ku Seman Ku Hussein berkongsi bebenang laman webnya.

Saya membaca berita Hanna dan novelnya ‘The Weight of our Sky’ diiktiraf Universiti Columbia.

Apabila #Kitajagakita dilancarkan, saya segera teringat pada syarah penyair hebat Indonesia, WS Rendra di rumah penyair Abdul Aziz HM di Kota Bharu pada 1988. (Al Fatihah kepada kedua-dua almarhum).

"Penulis yang tidak melaksanakan kata-katanya, sama saja macam politikus yang berdusta."

Hanna membuka lembaran baru bagi profil penulis di negara ini. Sekaligus mengubah landskap komuniti yang kaya dengan kata-kata kepada aktivis yang bertindak mengisi keperluan massa.

Hanna berkata, inisiatif #Kitajagakita dilancarkan kerana tidak selesa berdiam diri sewaktu negara berdepan krisis.

“Jadi saya menyalurkan rasa tidak selesa ini kepada sesuatu yang baik daripada hanya menjadi negatif.

“Ia bermula dengan satu ciapan di Twitter. Apabila saya jumpa inisiatif yang baru, saya akan masukkan dalam bebenang ciapan tersebut. Dari situ, ia mula berkembang.

"Setiap kali netizen maklumkan pada saya inisiatif baru, saya masukkan dalam bebenang,” jelasnya kepada portal Malaysiakini.

Menggunakan Twitter, Hanna menyenarai NGO dan aktivis yang menjalankan kerja-kerja amal. Akses mudah tetapi berkesan untuk melibatkan masyarakat.

#Dudukdirumah bagi Hanna bukan bererti 'beku dan mati'. Hati nurani dan sikap tanggungjawab terhadap kemanusiaan harus terus hidup sepanjang masa.

“Sama ada anda sedang memerlukan atau menawarkan bantuan, dalam bentuk wang atau bantuan pertolongan, #Kitajagakita,” ciapnya di Twitter.

Hanna turut mempromosi sistem digital yang memudahkan orang ramai membuat sumbangan.

“Sekiranya syarikat-syarikat yang berpotensi sudi untuk bekerjasama dengan kami, ia lebih baik,” katanya lagi.

#Kitajagakita mempromosikan NGO seperti Mercy Malaysia, Befrienders KL, Woman’s Aid Organisation (WAO), Puak Payong dan The Lost Food Project.

Usaha ini bukan sahaja menghidupkan penulis dalam dunia 'real', tetapi menampakkan hasil luar biasa.

Kempen #Kitajagakita meraih lebih RM200 ribu selepas tiga hari dilancarkan. Lebih membanggakan lebih 5,500 penderma tampil menyumbang.

Terima kasih dan tabik hormat pada Hanna. Anda telah meletakkan penulis pada posisi yang mapan setelah lama mereka hilang dari realiti kehidupan!



Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.