Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Parit Perak hari ini selepas mengaku bersalah cuba mengaibkan kehormatan seorang janda dengan memberikan sekeping DVD lucah dan kertas tulisan tangan mempunyai ayat tidak senonoh, Jumaat lalu.

Tertuduh, Megat Amir Asrul Megat Shaharuddin, 32, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa hendak mengaibkan kehormatan wanita berusia 52 tahun itu apabila memberikan DVD lucah dan kertas tulisan tangan mempunyai ayat tidak senonoh dengan maksud bagi mengganggu kesantunan wanita berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah di Kampung Bakong, Mukim Lambor Kiri, Bota pada jam 7.15 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Hamidah Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbans Kaur.

BACA: Buruh dicekup hantar mesej lucah kepada janda

Jumaat lalu Astro Awani melaporkan tertuduh ditahan selepas dipercayai mengganggu seorang janda dengan menghantar bahan berunsur lucah di kediaman wanita terbabit.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, tertuduh telah mengumpan mangsa menggunakan bahan terbabit dengan tujuan untuk mengajak wanita itu melakukan hubungan seks dengannya.