Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Hanya beza dua undi, pengosongan kerusi YDP Dewan Rakyat lulus

Hanya beza dua undi, pengosongan kerusi YDP Dewan Rakyat lulus
Usul tersebut diluluskan selepas undian belah bahagian dilakukan dengan 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 109 menolak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat, dengan hanya perbezaan dua undi.

Usul tersebut diluluskan selepas undian belah bahagian dilakukan dengan 111 Ahli Parlimen menyokong manakala 109 menolak.

Ia diumumkan oleh Timbalan Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Ketika menggulung usul itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan akui usul tersebut merupakan pertama sekali dalam sejarah perjalanan Parlimen.
Bagaimanapun, tegasnya ia boleh dilakukan dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Yang Berhormat Langkawi dan Port Dickson mengatakan bahawa perkara ini adalah pertama kali dalam sejarah Parlimen Malaysia. Memang itu benar. Tetapi perkara yang pertama kali, bukanlah perkara yang illegal.
"Yang pertama kali boleh dilaksanakan berdasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang.

“Sebagai contohnya dalam negara kita, tidak pernah berlaku Perdana Menteri interim, tetapi apabila ia telah berlaku kali pertama, ia kita terima.

“Begitu juga dengan masalah di depan kita… bukan memecat Speaker. Masalah di depan kita adalah satu usul mengosongkan kerusi Speaker untuk digantikan dengan Speaker yang lain,” katanya.

Tegasnya, usul tersebut walaupun tidak diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, namun ia diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.

Jelasnya, usul yang dikemukakan Perdana Menteri itu dibuat di bawah Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Yang Dipertua boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya yang ditujukan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, dan hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

Tambah Takiyuddin, tiada sebarang peruntukan yang memerlukan Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan notis pengosongan kerusi, sebaliknya cukup sekadar usul yang dibuat dalam tempoh 14 hari sebelum mesyuarat mula bersidang.

Menurut Takiyuddin, usul tersebut diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 29 Jun, iaitu melebihi tempoh 14 hari yang ditetapkan.



Tag: dewan rakyat, mohamad ariff md yusoff, yang dipertua dewan rakyat, ahli parlimen, usul, undian belah bahagian, parlimen



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.