Hanya keluarga dan waris terdekat sahaja dibenarkan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi mengekang penularan COVID-19, yang dikuatkuasakan sehingga 14 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata perkara itu merupakan antara garis panduan yang perlu dipatuhi ahli keluarga apabila berlaku kematian termasuk membabitkan kes COVID-19, dengan perlu merujuk kepada Ketua Balai Polis berdekatan dan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia, waris dan ahli keluarga yang berlaku kematian dalam tempoh PKP hendaklah mematuhi garis panduan tersebut yang terpakai kepada Tanah Perkuburan Islam Kerajaan dan Tanah Perkuburan Islam Kariah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Noh Gadut, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Datuk Md Rofiki Samsudin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ Datuk Mohd Noh Ibrahim.

Tosrin berkata antara garis panduan lain adalah semua yang menghadiri majlis pengebumian perlu segera bersurai selepas bacaan talkin oleh imam atau pembaca talkin selesai, memakai penutup hidung dan mulut, sentiasa membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman, menjaga jarak sosial dengan individu lain sekurangnya-kurangnya satu meter, memakai alat perlindungan diri lain sekiranya perlu, serta tidak dibenarkan bersalaman dan bersentuhan antara satu sama lain.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKP juga, keluarga waris terdekat hanya dibenarkan untuk menziarahi tanah perkuburan pada waktu pengebumian sahaja manakala selain daripada waktu itu, ahli keluarga, waris serta pelawat tidak dibenarkan berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Tosrin berkata seluruh umat Islam di negeri ini diseru supaya melakukan Amalan Johor Bermunajat di rumah masing-masing mulai waktu maghrib, mulai esok hingga 4 April bagi memohon kepada Allah SWT dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

Beliau berkata Amalan Johor Bermunajat yang diadakan di masjid dan surau akan dilakukan pegawai masjid dan surau sahaja dengan azan maghrib dan iqamah disusuli solat maghrib berjemaah bersama bacaaan Qunut Nazilah, solat hajat, membaca surah Yasin dan tahlil.

Ia kemudian disusuli solat isyak berjemaah bersama bacaan Qunut Nazilah, bacaan surah Al-Mulk, selawat Kamilah dan Asmaul Husna di samping membaca doa khas memohon kepada Allah SWT agar dapat mengekang dan menjauhkan bala khususnya COVID-19.

Menurut Tosrin, sebagai panduan, Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Tahun 2020 (Panduan Amalan Johor Bermunajat Untuk Mengekang Penularan COVID-19) akan dimuat naik di Facebook JAINJ selain siaran secara langsung (live streaming) akan dilaksanakan oleh Pegawai Masjid Sultan Abu Bakar, di sini, menerusi laman Facebook Masjid Sultan Abu Bakar bermula waktu maghrib esok.

-- BERNAMA