Hanya kerana seorang individu tidak mematuhi arahan kuarantin, ribuan yang lain dijangkiti COVID-19 di Victoria, Australia, menjadikan jumlah kes di negara itu kini hampir mencecah 20,000 kes.

Situasi hampir sama turut berlaku di Malaysia apabila tindakan seorang lelaki melanggar arahan kuarantin di rumah mengakibatkan wujudnya satu kluster baru iaitu Kluster Sivagangga di Kedah yang kini merekodkan 30 kes positif COVID-19.

Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan adalah penting untuk semua orang mematuhi arahan dan mempraktikan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Petang tadi saya baru hubungi salah seorang rakan sejawat saya di Melbourne. Saya dimaklumkan kes jangkitan di seluruh Victoria tertumpu kepada seorang, jangkitan daripada seorang yang dibawa balik dan menjangkiti semua orang.

“Bila mereka jalankan kajian genomik, semua tertumpu kepada seorang itu. Jadi merebaknya virus itu kerana seorang seperti mana yang kita lihat di Kluster Sivagangga.

BACA: Kluster Sivagangga dibimbangi berkemungkinan 'super-spreader' - Dr Noor Hisham

“Ada seorang yang tidak patuh SOP dan menjangkiti, menular dalam komuniti begitu juga di Melbourne, seorang tak patuh pada SOP di pusat kuarantin, menjangkiti satu komuniti dan satu negeri di Victoria,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Sehingga 6 Ogos 2020 jam 12.00 tengah hari, seramai 30 orang disahkan positif COVID-19 dari kluster tersebut.

Dr Noor Hisham dalam sidang media sama memaklumkan, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster ini dengan 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan (persampelan pada 5 Ogos 2020).

“Enam kes baharu telah dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga pada hari ini melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif. Satu daripada enam kes baharu ini mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Kes mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020. Kes kemudiannya dikesan positif COVID-19 pada 5 Ogos 2020.

“Pesakit telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan ahli keluarga tersebut telah disaring untuk COVID-19 dan masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Tambah beliau, lima kes baharu selebihnya pula terdiri daripada satu keluarga iaitu kes ke-9033, 9034, 9035, 9036 dan 9037.

“Mereka mempunyai sejarah mengunjungi ke salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di negeri Kedah,” katanya.