Hanya kerana upah RM20, seorang warga Filipina berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup atas dakwaan mengedar dadah.

Lelaki berusia 42 itu ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 50.71 gram di Kampung Vietnam, Tawau, Sabah, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas dalam satu kenyataan berkata operasi melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau telah mengesan lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri namun dia berjaya ditahan.

Umbuas berkata pemeriksaan fizikal ke atas lelaki itu menemukan lima paket plastik berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu dalam poket seluar jeansnya.

"Suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan merupakan seorang penganggur selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Suspek ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut.

"Ujian air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” kata Peter.

Nilai barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM5,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan Seksyen 15(1) akta yang sama atas kesalahan menagih dadah.