Ketua Setiausaha Perbendaharaan menyifatkan kritikan dan aduan mengenai pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya melibatkan golongan kaya.

Sebaliknya Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah memberitahu, golongan berpendapatan rendah mahu bantuan berkenaan diteruskan.

"Kita sudah buat kajian melalui Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menunjukkan bahawa 83.4 peratus golongan berpendapatan rendah menyatakan mereka sangat bersetuju supaya BR1M diteruskan dan dikekalkan.

"Hanya yang complaint mengenai BR1M ini datang daripada golongan kaya, bukannya golongan miskin. Golongan kaya tidak mendapat BR1M," katanya dalam sidang media mengenai BR1M di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Irwan Serigar berharap golongan sasar yang mendapat BR1M menggunakan bantuan berkenaan dengan sebaiknya.

"Golongan miskin diharap menggunakan BR1M secara baik dan mereka boleh memanfaatkan daripada (bantuan) ini," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menegaskan, BR1M bukan rasuah dan sama seperti bantuan-bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

"Kalau kita lihat di Selangor dan Pulau Pinang, mereka juga menyediakan pelbagai bantuan seperti Skim Mesra Usia Emas, bantuan air percuma, bantuan ibu emas dan Skim Pelajar Emas.

Jadi adakah program ini semua dikatakan rasuah? Tidak bukan?," tegas beliau.

Tambahnya lagi, kerajaan akan meneruskan semua mekanisme sedia ada yang disifatkan baik untuk rakyat.

"Ada yang kata beri ikan tetapi tidak memberi batang kail? Namun, kerajaan memberi kedua-duanya supaya rakyat dapat manfaat daripada latihan disediakan untuk keluar dari golongan berpendapatan rendah dan bergerak ke atas dan menambah pendapatan mereka," ujarnya.

Mengulas lanjut, Irwan Serigar berkata, BR1M bukan sahaja dilaksanakan di negara ini malah turut dilaksanakan di negara seperti Indonesia, Australia dan Brazil.

"Inilah bantuan untuk rakyat yang berpendapatan rendah untuk meringankan beban mereka. Seperti di dalam pembentangan Bajet baru-baru ini, BR1M ini juga boleh digunakan untuk membeli kereta Proton, dan rundingan sedang dibuat. Proton akan memberi diskaun. Jadi mereka boleh menjadi pemandu Uber (untuk tambah pendapatan sambilan)," jelasnya.

Pada masa sama katanya, kerajaan sedang mengkaji mekanisme pemberian BR1M bagi memastikan bantuan berkenaan disalurkan kepada golongan sasar.

Pemberian BR1M dijangka disalurkan kepada golongan sasar bermula Februari depan.