Buat kali pertama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia merekodkan hanya satu kes positif COVID-19.

Berdasarkan statistik sehingga setakat jam 12 tengah hari pada 1 Julai 2020 itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tunggal yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Menurutnya, angka terbaru itu sekali gus membawa maksud bahawa buat kali pertama juga tiada kes penularan dalam negara dilaporkan.

“Sehingga 1 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat satu (1) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,640 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 144 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Ingin dimaklumkan bahawa satu kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tiada kes penularan di dalam negara yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.