Hanya seorang rakyat Malaysia terlibat dalam insiden letusan gunung berapi

Hanya seorang rakyat Malaysia terlibat dalam insiden letusan gunung berapi
Waris mangsa menunggu di rumah Mataatua Mare sementara operasi menyelamat dijalankan susulan letusan gunung berapi White Island di Whakatane, New Zealand, 13 Dis, 2019. REUTERS
KUALA LUMPUR: Wisma Putra pada Khamis mengesahkan hanya seorang rakyat Malaysia terlibat dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand, pada Isnin dan mangsa dalam keadaan kritikal.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Wisma Putra memaklumkan pengesahan mengenai perkara itu diperoleh daripada Pusat Kordinasi Kecemasan, Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand.

"Mangsa merupakan pemegang taraf Pemastautin Tetap Australia kini berada dalam keadaan kritikal dan akan dipindahkan ke Sydney, Australia untuk menerima rawatan lanjut. 

"Mangsa dijadual dipindahkan ke Sydney pada hari Jumaat, 13 Dis 2019. Bagaimanapun, urusan penghantaran mangsa ke Australia bergantung kepada penilaian pihak Hospital Christchurch akan keadaan beliau," demikian menurut kenyataan itu.

Maklumat daripada pihak berkuasa negara itu sebelum ini menyebut sekurang-kurangnya seorang warga Malaysia maut dalam kejadian itu.

BACA: Letusan gunung berapi NZ: Rakyat Malaysia antara yang hilang 

BACA: Gunung berapi New Zealand meletus, 20 dikhuatiri cedera

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan New Zealand serta pihak berkuasa tempatan atas bantuan yang telah dihulurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dalam bencana ini.

Ledakan tiba-tiba gunung berapi yang berlaku di White Island, yang juga dikenali sebagai Whakaari, 48 kilometer dari North Island New Zealand, meletuskan abu dan wap ke udara ketika sekumpulan pelancong mengunjungi pulau itu.

Setakat ini pihak berkuasa tempatan telah mengesahkan lapan individu hilang manakala enam maut dan lebih 30 cedera dalam kejadian yang berlaku pada 2.11 petang waktu tempatan itu.

-- BERNAMA