Jika pemegang amalan Sunni negara ini, bersama-sama membantah penganiayaan terhadap pengamal Syiah, nescaya UMNO dan Kerajaan Pakatan Harapan akan turut memastikan keadilan untuk mereka, kata ahli akademik Prof Dr Syed Farid Alatas.

Beliau berkata, jika itu berlaku, ia dapat mengurangkan jurang pemisahan antara dua kumpulan itu, dan dapat membantu masyarakat Islam Malaysia menjadi lebih maju.

Selain itu, pakar sosiologi dari National University of Singapore (NUS) itu berkata, ia juga dapat memastikan tiada lagi tindakan sewenang-wenangnya ke atas pengamal Syiah, termasuk serbuan yang dilakukan di Gombak baru-baru ini, yang beliau sifatkan sebagai 'barbaric'.

“Kalau rakyat Sunni bangun, cakap dengan ahli politik dan agamawan, bahawa kita tak terima penganiayaan ke atas kaum Syiah, dan kita mahu hidup bersama mereka, esok UMNO dan Pakatan Harapan sendiri akan perjuangkan Syiah. Itu akan selesaikan masalah kita.

“Masalah kita terdiam selagi kita berdiam, dan itu tak akan dapat selesaikan masalah Syiah,” katanya sewaktu menjadi panelis dalam forum The Future of Ummah: Voice of Unity and Harmony, anjuran G25 di sini hari ini.

Jika itu tidak diselesaikan dengan segera, Syed Farid berkata, ia akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mundur dan menindas di mata dunia.

Forum itu, yang dikelola oleh ahli G25 Dr Sharifah Munirah Alatas, bersama barisan speaker lain seperti Dr Chandra Muzaffar (JUST), Prof Datuk Dr Osman Bakar (ISTAC), dan Datuk Dr Ahmad Farouk Musa (IRF), membincangkan mengenai pentingnya umat Islam Malaysia bersatu tanpa mengirakan pegangan dan mazhab masing-masing.

Selain itu, mereka turut mengupas dengan lebih mendalam mengapa fahaman Syiah sering disalah faham sebagai fahaman sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar, yang mana Syed Farid meletakkan kesalahan itu di atas ahli politik dan agamawan yang tidak mempunyai ilmu.

Dalam pada itu, Osman lebih cenderung dalam menyeru orang Islam untuk lebih memahami tiga aspek iaitu falsafah, sufism, dan maqasid syariah.

“Kita harus mengakui wujudnya kepelbagaian, dan sebab itu kita harus mengiktiraf dan memberi ruang kepada mereka (yang berlainan fahaman) supaya usaha mewujudkan penyatuan dalam kepelbagaian ini menjadi realiti,” ujarnya lagi.

Chandra pula dalam pembentangannya menegaskan timbul salah faham mengenai fahaman Syiah ini adalah akibat geopolitik yang dilakukan oleh pihak Britain dan Amerika Syarikat dalam usaha mereka menukar rejim di beberapa negara Asia Barat.

Untuk rekod, fahaman Syiah ini bertapak kuat di negara-negara seperti Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan, termasuk sebahagian Arab Saudi, Yaman dan Pakistan.

Chandra berkata, Malaysia sepatutnya tidak terperangkap dalam usaha Barat memecah belahkan dunia Islam, sebaliknya kembali mencari titik penyatuan antara dua aliran itu demi kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini.