Hanya tinggal tengkorak dan cebisan rambut milik adik Nur Aisyah Aleya Abdullah sahaja di tempat kejadian.

Itu antara kenyataan yang diberikan Ketua Polis Daerah Langkawi, Supritenden Mohd Iqbal Ibrahim selepas pihak Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui rangka mayat kanak berusia 3 tahun itu.

"Memang dah mereput dan tinggal tengkorak saja, jadi maknanya 'full body' (badan penuh) dah tak ada dah, hanya tinggal bahagian kepala sahaja lebih kurang 32 kaki bawah gaung daripada bukit ini,” katanya kepada pemberita.

Jelas Iqbal, menerusi siasatan awal suspek lelaki telah membawa polis ke lokasi berkenaan kira-kira jam 11 pagi sebelum menunjukkan tempat mayat kanak-kanak itu dibuang.

BACA: Mayat kanak-kanak hilang Nur Aisyah Aleya ditemui, dipercayai meninggal dua minggu lalu

Tegasnya, kedua-dua suspek akan direman pada Khamis dan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, mayat Nur Aisyah, yang hilang ketika dalam jagaan pengasuh hujung bulan lalu telah ditemui di sebuah kawasan hutan di Langkawi hari ini dan dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.

Perkara itu disahkan pihak polis selepas menjumpai rangka mayat kanak kanak terbabit di kawasan hutan Gunung Raya.

Penemuan itu terbongkar selepas soal siasat dilakukan terhadap kedua-dua suspek yang menjaga kanak kanak terbabit sebaik sahaja ditahan di Ampang pada Selasa selepas dipercayai melarikan diri dari Pulau Langkawi.

Mayat Nur Aisyah Aleya ditemui pada 11.30 pagi oleh sepasukan polis selepas dibawa ke kawasan itu.