Kerajaan digesa agar menghapuskan sebarang bentuk monopoli berhubung kemasukan tenaga buruh asing terutamanya dalam kalangan warga negara Bangladesh ke negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing (KDM), Datuk Seri P. Thiagaraja berkata
meskipun tindakan kerajaan mengantungkan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) pada September lalu dialu-alukan, beliau bimbang sebarang bentuk sistem baharu yang diperkenalkan nanti masih tidak dapat mengelakkan berlakunya monopoli.

"(Sebagai contoh) Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) adalah satu badan kerajaan, sebelum ini mereka melantik 10 agensi yang juga rakan mereka dan dari situ berlakunya monopoli. Jadi kami (KDM) tidak mahu perkara yang sama berlaku, walaupun sistem baharu melantik 50 agensi tetapi jika kronisme berlaku sudah tentu tiada beza dengan sistem sebelum ini," katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.

Dakwanya lagi, siasatan awal pihaknya mendapati kesemua agensi yang dilantik sebelum ini adalah dari negara Bangladesh sebelum diluluskan oleh SPPA.

Lebih malang apabila setiap tenaga buruh dikenakan yuran pemprosesan antara RM15,000 hingga RM20,000.

Yuran tidak munasabah itu ujarnya menjadi punca mengapa lambakan Pendatang Tanpa Izin (PATI) terus berlaku di negara ini.

"Tenaga buruh ini datang untuk apa? Untuk mendapatkan pendapatan buat keluarga mereka di Bangladesh. Tetapi apabila yuran dikenakan terlalu tinggi, mereka terpaksa meminjam wang dan membayar balik. Jika dikira gaji mereka RM1,050-RM1,100 sebulan dengan tempoh dua tahun. Mereka tidak mampu membayar hutang terbabit, sekaligus mereka mengambil jalan untuk tinggal lebih tempoh dan menjadi PATI.

"Kerajaan juga membelanjakan wang yang banyak untuk menangkap PATI dianggarkan RM400 juta, lebih lagi apabila depoh tahanan perlu disediakan buat mereka. Ini semua kos-kos terpaksa ditanggung, semuanya kerana monopoli yang berlaku sebelum ini," katanya lagi.

Tambah Thiagaraja kerajaan perlu memastikan monopoli tidak wujud demi memastikan imej Malaysia tidak tercalar dalam kalangan negara sumber.

Jelas Thiagaraja lagi, beliau telah mengutuskan surat berhubung isu itu kepada pejabat Perdana Menteri untuk menyuarakan kebimbangannya.