Menteri Sumber Manusia M Kula Segararan meminta pengurusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk mempertimbangkan semula keputusan pemberhentian operasinya.

Sebaliknya, syarikat akhbar itu disaran mencari alternatif lain lantaran keputusan itu melibatkan kebajikan pekerja.

“Saya harap pengurusan Utusan akan pertimbangkannya. Mungkin pihak lain boleh ambil alih syarikat tersebut,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan pemegang saham Kumpulan Utusan untuk memberhentikan operasi syarikat yang berusia 80 tahun itu hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya keputusan itu terpaksa diambil, nasib pekerja akan terus dibela di bawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP).

“SIP ini adalah satu sistem insurans pekerjaan, di mana dalam tempoh enam bulan (selepas diberhentikan), pekerja akan diberi bantuan berdasarkan gaji semasa.

“Pada masa sama, SIP juga akan membantu mencari pekerjaan alternatif selain mendapatkan majikan untuk temuduga mereka,” katanya.

Dalam satu memo dalaman yang diedarkan kepada staf syarikat pada Rabu, pengerusi eksekutifnya Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation).

Katanya, pihak pengurusan telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi.

Namun, edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan gagal dicapai, menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.