Kenaikan harga barangan di pasaran bukanlah disebabkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), sebaliknya oleh kartel atau orang tengah yang mengejar keuntungan berlebihan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) yang telah bersidang sebanyak dua kali baru-baru ini mendapati tindakan memanipulasi harga oleh golongan terbabit merupakan punca utama kenaikan harga barangan di pasaran.

“Memang benar ada kenaikan daripada kos pengeluaran, pengimportan disebabkan berlakunya pertukaran wang kerana ketika itu wang kita agak rendah berbanding mata wang Amerika Syarikat. Tetapi sekarang nilai mata wang kita telah meningkat, tetapi kenapa harga barangan tidak turun?

“Ertinya kartel memainkan peranan sebagai orang tengah ambil margin (keuntungan) yang banyak, saya tak mahu musuh dengan mereka, tapi saya mewakili rakyat minta kartel atau orang tengah ini jangan salahkan kerajaan dan jangan jadikan rakyat mangsa serta meracuni fikiran mereka untuk membenci kerajaan.”

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Pembukaan ProMart Bagan Datuk dan Program Kos Sara Hidup di Hutan Melintang pada Isnin.

Tambah beliau, melalui majlis yang dipengerusikan beliau itu juga mendapati golongan terbabit juga merupakan antara syarikat atau individu yang sebelum ini "lari” daripada membayar cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mereka salahkan kerajaan kerana GST penyebab utama kenaikan harga sedangkan kartel inilah dulu yang merupakan syarikat atau individu yang lari daripada membayar cukai SST, oleh sebab itu kerajaan ambil langkah kenakan GST.

“Oleh kerana mereka marah dengan GST, jadi mereka buat tohmahan dan fitnah kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan akan berusaha memperbanyakkan lagi kedai serbaneka Promart yang mengantikan Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di seluruh negara.

“MKSHN telah dicadangkan untuk melantik syarikat-syarikat bagi mengendalikan lebih banyak cawangan Promart ini dan bukan lagi hanya di bawah satu syarikat seperti mana dibuat dahulu.

“Kerajaan juga menampung kos pengangkutan yang merupakan faktor penyumbang kepada kenaikan harga barangan.

“Ini merupakan antara langkah kerajaan bagi memastikan rakyat masih dapat menikmati barangan dengan harga yang rendah dari pasaran selain tinggi kualitinya,” katanya.