Harga buah kelapa yang mencecah sehingga RM2.20 sebiji menjadi punca kenaikan harga santan segar hingga mencecah RM9 sekilogram (kg).

Tinjauan di Pasar Chabang Tiga mendapati harga kelapa parut dan santan segar, masing-masing dijual RM8 dan RM9 sekilogram, berbanding RM7 dan RM8 sebelum ini.

Seorang peniaga Abdullah Ibrahim, 35, berkata jika dahulu kelapa dibeli dari pembekal dengan harga RM1.40 sebiji, namun kini ia naik mendadak malah berkemunginan naik lagi sehingga RM2.40 sebiji.

"Kami bukan sesuka hati menaikkan harga santan, kami beli dengan pembekal dengan harga yang tinggi, jadi kami terpaksa naikkan harga mengikut harga kelapa yang dihantar pembekal.

"Bekalan kelapa yang semakin sukar diperoleh kini memaksa pembekal dan peniaga menaikkan harga," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, bagi mendapatkan 150kg santan sebanyak 400 kelapa diperlukan dan berikutan permintaan yang tinggi pada hari minggu, beliau memerlukan 600 kelapa.

Kesemua jumlah tersebut digunakan untuk tempoh sehari sahaja dan pelanggan kebanyakannya terdiri daripada pengusaha restoran dan penduduk sekitar.

Abdullah berkata kebiasaannya mereka akan membeli 800 kepala dan ianya mampu bertahan sehingga dua hari.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Syuzlan Abd Wahab, 28, berkata kelapa biasanya diambil dari Johor yang diimport dari Indonesia manakala bagi kelapa kampung ia diperoleh dari Kelantan dan Terengganu.

"Kelapa kampung ini tidak banyak. Jika ikutkan harga kelapa hari-hari naik dan kita pun terpaksa naikkan harga santan bergantung pada pembekal kelapa," katanya. --Bernama