Harga minyak masak paket 1 kilogram (kg) kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 Nov ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata kadar itu berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Katanya penstrukturan semula minyak masak itu dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses (olein) dari RM2,341 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sekarang.

Beliau menjelaskan tanpa penstrukturan semula minyak masak itu, kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak bagi November dan Disember berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses.

"Kerajaan mengekalkan harga minyak masak paket 1 kg bagi memastikan golongan sasar yang memerlukan terus menikmati subsidi kerajaan," katanya dalam sidang media di sini.

Mesyuarat Kabinet pada 21 Sept lepas bersetuju supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil alih pengurusan COSS daripada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bermula 1 Nov.

Minyak masak dalam botol termasuk 1kg dianggarkan berharga di antara RM3.70 hingga RM3.90 mengikut harga pasaran.

Hamzah berkata kerajaan memperuntuk RM600 juta untuk subsidi minyak masak dalam Bajet 2016 manakala peruntukan subsidi itu untuk tahun depan belum dimuktamadkan.

"Penstrukturan semula minyak masak ini diharap dapat mengurangkan bahan asas itu diseludup keluar ke negara jiran," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memberitahu bahawa KPDNKK merampas minyak masak bernilai kira-kira RM5,000 dalam tiga serbuan di Kuala Lumpur, Selangor dan Penang.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani sebelum ini berkata kerajaan terpaksa membayar subsidi bagi 85,000 tan matrik minyak masak sebulan tetapi kajian mendapati rakyat Malaysia secara purata hanya menggunakan kira-kira 40,000 tan minyak masak sebulan. -- BERNAMA