Harga minyak di pam ditetapkan pada RM1.93 seliter bagi RON95 berbanding RM2.20 kini, manakala RON97 diturunkan kepada RM2.23 seliter berbanding RM2.50 kini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Diesel pula ditetapkan pada RM2.04 seliter berbanding RM2.18 sebelum ini.

“Harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.

“Pengumuman harga runcit akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu hingga Jumaat.

“Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019,” tegas Guan Eng.

Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel.

Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa.

Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada tahun 2008.