Harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Mac 2019.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bagaimanapun harga runcit bagi RON97 naik sebanyak 8 sen seliter daripada RM2.46 seliter kepada RM2.54 seliter, bagi tempoh yang sama.

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 16 Mac 2019 sehingga 22 Mac 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.24 seliter dan RM2.37 seliter masing-masing.

“Namun, harga runcit produk petroleum RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berikutan keputusan Kerajaan untuk menyekat kenaikan harga runcit produk petroleum demi mengurangkan beban kewangan rakyat,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan hari ini.