Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot hari ini membayangkan sambutan Hari Pekerja tahun ini mungkin tidak dapat diadakan pada 1 Mei seperti kebiasaan.

Sebaliknya, kata beliau, sambutan itu mungkin hanya boleh dibuat selepas 'satu raya besar' yang merujuk kepada Pilihan Raya Umum ke-14.

"Tema Hari Pekerja 2018 yang dipilih iaitu 'Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara' telah dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Feb lepas, tetapi saya tidak dapat beri jaminan sambutan Hari Pekerja yang biasanya disambut pada 1 Mei dapat dilaksanakan pada tarikh tersebut.

"... ia mungkin hanya boleh dibuat selepas satu raya yang besar," katanya yang disambut tepukan dan ketawa tetamu pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu, di sini.

Majlis yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Ghazali Abas itu menyaksikan 642 warga kerja cemerlang menerima anugerah masing-masing.

Sementara itu, Riot turut menggesa warga kementeriannya meningkatkan kemahiran dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan seiring hasrat kerajaan menjadikan 2018 sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan bagi Malaysia.

Beliau berkata antara aspek yang perlu ditingkatkan ialah keupayaan melakukan pelbagai tugasan agar pelaksanaan agenda nasional dan kementerian dapat dilangsungkan dengan lebih cemerlang.

"2018 merupakan tahun yang penting selepas kejayaan melaksanakan aspirasi 2017 sebagai tahun penyampaian, dan sebagai antara kementerian utama berkaitan perkhidmatan, kesinambungan kejayaan itu perlu menjadi keutamaan kepada setiap orang.

"Untuk itu, kita semua perlu melatih diri menjadi lebih 'multi-tasking, multi-skills dan multi-talented' yang mampu menyumbang kepada budaya kerja yang mementingkan keberhasilan yang mengagumkan," katanya.

-- BERNAMA