Seekor Harimau Malaya yang dikesan berkeliaran di sebuah ladang di Mersing, Johor, dengan kelibat haiwan itu menjadi tular dalam media sosial ditemui mati di sebuah bukit dalam kawasan ladang itu, pada Rabu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) berkata, pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Mersing, yang menjejaki haiwan itu dimaklumkan penemuan bangkai harimau pada 12.30 tengah hari semalam oleh pengurus ladang.

"Hasil siasatan awal Perhilitan mendapati Harimau Malaya itu dipercayai telah mati dua hingga tiga hari lepas berdasarkan keadaan bangkainya yang mula mereput. Siasatan awal tidak menemui sebarang kesan harimau ini mati ditembak, dijerat atau disebabkan oleh perbuatan khianat yang lain.

"Perhilitan percaya punca kematian Harimau Malaya ini berkemungkinan disebabkan penyakit 'Canine Distemper' iaitu sama seperti penyakit yang dialami 'Awang Besul' iaitu harimau belang yang ditemui di Terengganu pada Julai 2019," menurut kenyataan itu.

Bedah siasat akan dilakukan oleh doktor Veterinar Perhilitan bagi mengetahui punca sebenar kematian harimau itu.

Pada 1 Mac lepas, Perhilitan Negeri Johor menerima aduan daripada orang awam mengenai seekor Harimau Malaya dilihat berkeliaran dalam kawasan Ladang Site 15, Ladang Aramijaya, Mersing.

Video kelibat harimau itu yang dirakam orang awam kemudian menjadi tular dalam media sosial.


Sepasukan kakitangan Perhilitan Mersing kemudian ditugaskan untuk mengawal kawasan ladang serta menyiasat kawasan persekitaran bagi mengambil tindakan susulan untuk menangkap dan memindahkan harimau itu ke tempat yang lebih selamat.

Operasi itu turut mendapat bantuan teknikal kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) bagi tujuan pemasangan perangkap.

KATS meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Harimau Malaya untuk menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151. - BERNAMA