Malaysia akan berhadapan kepupusan harimau Malaya dalam masa lima sehingga 10 tahun seandainya usaha proaktif dalam menjaga populasinya tidak dimulakan sekarang.

Menteri Air Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, jumlah 200 ekor harimau Malaya kini juga dilihat sangat membimbangkan.

"Data ini berada di tahap membimbangkan. Sekiranya tidak diamil tindakan drastik, harimau Malaya ini
dalam lima tahun ke 10 tahun akan hilang selama-lamanya.

"Perhilitan dengan kerjasama agensi lain termasuk NGO alam sekitar sudah mengambil langkah proaktif menjaga populasi harimau Malaya ini," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PKR Lembah Pantai) yang mahu tahu jumlah populasi Harimau Malaya di seluruh Malaysia berdasarkan dapatan terkini Survei Harimau Kebangsaan Pertama, dan langkah-langkah yang akan dilaksana untuk mengekal dan meningkatkan populasi Harimau Malaya.

Dalam pada itu kata Dr Xavier, antara langkah diambil untuk menjaga populasi harimau Malaya adalah meningkatkan rondaan kawalan perlindungan operasi bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung yang dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sekitar tahun 1950-an, Semenanjung Malaysia memiliki lebih 3,000 ekor harimau Malaya yang mendiami kawasan hutan belantara yang pada ketika itu kurang ancaman kerosakan.

Harimau Malaya mempunyai keistimewaan tersendiri kerana hanya boleh ditemukan di negara ini.

Memiliki berat badan antara 90 hingga 130 kilogram, fizikal harimau Malaya adalah antara paling kecil dalam kalangan sembilan sub spesies harimau yang pernah atau masih hidup di muka bumi ini.