Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu tidak menolak kemungkinan dua ekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, di sini semalam merupakan harimau belaan.

Ia ekoran keadaan haiwan itu yang tidak terlalu agresif.

Pengarahnya, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, harimau itu bermungkinan dilepaskan individu.

“Pada pandangan kita, mungkin ada dua kemungkinan. Yang pertamanya mungkin disebabkan harimau ini mungkin harimau belaan yang mana mungkin dilepaskan oleh orang-orang yang tertentu yang mana kita pun tidak pasti. Belum dapat lagi mengenalpati sumber, siapa yang melepaskan harimau tersebut.

“Dan yang keduanya mungkin disebabkan oleh faktor penyakit yang mana penyakit ni memang jarang-jarang berlaku pada harimau dimana kalau kata harimau ni mendapat penyakit ini memang agak lemah tidak bertenaga dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.



Abdul Malik berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan aktiviti perlombongan dan pembalakan menjadi punca haiwan terbabit keluar dari habitat asal mereka untuk mencari makan.

Justeru Perhilitan Terengganu mengingatkan penduduk khususnya di Kampung Besol supaya menghentikan sementara aktiviti di hutan dan kebun.

Langkah berkenaan bagi mengelakkan risiko diserang oleh dua ekor harimau sesat yang berkeliaran di kawasan berkenaan.

Perhilitan juga akan menempatkan beberapa buah perangkap di beberapa lokasi sesuai.

Menurut Dr. Abdul Malik lagi, 20 kakitangan Perhilitan digerakkan sehingga awal pagi Jumaat untuk mengesan dan menangkap haiwan terbabit.

Dalam kejadian pagi Khamis,penduduk di Kampung Besol gempar apabila dua ekor harimau yang kelihatan jinak berlegar di kawasan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa, ia adalah kejadian pertama sepanjang enam puluh tahun kampung itu dibuka.