"Tiada lain, kecuali mewakafkan dirinya kepada masyarakat bagi menyempurnakan syariat Islam," itulah yang boleh dirumuskan sepanjang 76 tahun kehidupan insan yang bergelar Datuk Haron Din.

Rakan karib Allahyarham Dr Haron, Ustaz Ab Rashid Ahmad berkata, Dr Haron pernah memberitahunya, Allah meminjamkan umur kepadanya untuk beliau menyempurnakan perkara yang masih belum sempurna.

"Beliau telah mewakafkan dirinya untuk masyarakat dan saya masih ingat, ketika beliau balik dari Amerika Syarikat kira-kira dua tahun lalu, dia kata "Allah meminjamkan umur kepada saya untuk saya sempurnakan perkara yang masih belum dapat saya sempurnakan."

"Beliau berusaha meletakkan Darussyifa' sebagai rawatan yang diterima dan diktiraf Kementerian Kesihatan di bawah rawatan tradisional dan komplimentari. Alhamdulillah," katanya kepada media pada Majlis Tahlil Allahyarham Haron Din di Pusat Rawatan Islam Darussyifa' di sini hari ini.

Selain mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan, Dr Haron juga telah menyempurnakan hasratnya untuk menubuhkan Yayasan Darussyifa' Malaysia.

"Beliau juga baru-baru ini telah melancarkan Yayasan Darussyifa' Malaysia. Itu antara tujuan beliau yang telah beliau nyatakan.

"Ternyata bila kita nampak dua perkara ini telah berjaya dan kelihatan seolah-olah telah sampai masa untuk Tuan Guru kemabli ke Rahmatullah," katanya.

Tambah Ab Rashid, selain sibuk menyampaikan dakwah menerusi ceramah, Dr Haron juga sering sibuk membantu masyarakat terutama pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus.

Selain itu, Dr Haron sering mengingatkan kepada pelajar-pelajarnya supaya membina keyakinan diri sebelum mengubati seseorang pesakit.

"Bina keyakinan sebelum anda mencuba untuk berjaya khususnya dalam pengubatan Islam. Janganlah merawat dan kemudian berjaya, baru yakin.

"Jadi kita perlu berusaha dahulu untuk merawat dan bina keyakinan sejak awal lagi dan kejayaan itu akan menambahkan keyakinan dalam usaha merawat pesakit. Itu yang paling saya ingat dan saya tidak akan lupa," katanya.

Jelas Ab Rashid lagi, Dr Haron mahu pelajarnya sentiasa berusaha mencari penyelesaian dalam mengaplikasikan perubatan Islam.

Malah katanya, Dr Haron sering menegaskan kepada semua pelajarnya supaya sentiasa amanah dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab supaya amalan itu diterima Allah SWT.

Ab Rashid merupakan antara sahabat karib Dr Haron di mana mereka bersama-sama menceburi bidang pengubatan Islam pada tahun 1985.