Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek diminta mencari mekanisme baharu bagi mengekang golongan peniaga yang masih berdegil untuk mengurangkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak oleh Kerajaan malam tadi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 perlu dikuatkuasa dan bukan hanya tinggal undang-undang semata-mata.

"Menteri berkenaan perlu kuat kuasa akta sedia ada untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah.

"Jika tidak, satu mekanisme baharu perlu diadakan bagi memastikan peniaga menurunkan harga barang, selain mengambil tindakan terhadap perniaga terbabit," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mas Ermieyati berkata demikian semasa mengulas sikap peniaga yang enggan menurunkan harga barangan selepas penurunan harga petrol dan diesel.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, harga petrol RON95 turun sebanyak 21 sen seliter manakala RON97 diturunkan sebanyak 11 sen seliter dan diesel turun 23 sen, mulai hari ini.

Dengan penurunan itu, harga minyak seliter kini RM1.70 untuk petrol RON95, RM2 bagi RON97 dan RM1.70 bagi diesel.

Hasan turut dilapor berkata, kerajaan akan sentiasa mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel bagi bulan berikutnya.

Dalam pada itu, jelas Mas Ermieyati, peniaga bumiputera juga seharusnya menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan dan tidak mengaut keuntungan yang berlebihan daripada pengguna.

"Oleh kerana itu, pengguna perlu bijak membuat pilihan. Sokongan anda untuk meletakkan kuasa pengguna paling tinggi amat diperlukan.

"Kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan dengan peniaga yang sengaja tidak mahu menurunkan harga barang.

"Mereka tidak sepatutnya menjual pada harga lama yang lebih mahal kerana kos pengangkutan juga telah menurun," katanya.