Hasil bedah siasat kedua bagi mengetahui punca kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11 tahun pada 26 April lalu dijangka diketahui dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjelaskan, sampel kaki berkenaan diperoleh selepas kubur pelajar itu digali semula pada Khamis.

"Selepas membuat bedah siasat, doktor pakar yang menjalankan bedah siasat itu, walaupun ada beberapa penemuan untuk mendapat keputusan terhadap sebab kematian itu, tetapi mereka masih tidak berpuashati dengan bukti yang sedia ada.

"Jadi, pada masa itu mereka lihat kepada pemeriksaan kepada kaki yang telah dibedah sebelum itu. Namun, apa yang sedih kaki itu telah dikuburkan secara awal dan pemeriksaan yang dibuat pada masa itu pada pandangan pasukan forensik dan patologis yang menjalankan siasatan itu, mereka tidak berapa puashati dengan bukti dan maklumat sedia ada, jadi mereka minta pemeriksaan semula sampel kaki dijalankan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Saintifik yang ke-47 Persatuan Orthopedik Malaysia (MOA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


Subramaniam berkata, beliau tidak akan mendedahkan maklumat awal siasatan pihaknya kerana masih menunggu keputusan bedah siasat kedua.

"Itulah sebab mereka mahu bedah siasat balik kaki itu supaya mereka buat satu keputusan walaupun kita ada tentative diagnose itu, tetapi saya tak mahu umumkannya sekarang. Kita jangkakan (keputusan bedah siasat kedua) mungkin dua minggu lagi," ujar beliau.

Kubur Mohamad Thaqif Amin digali semula pada petang Khamis dengan disaksikan ahli keluarga pelajar tahfiz itu.

Selain pihak hospital, polis dan pihak mahkamah turut berada di lokasi ketika proses menggali kubur Allahyarham.

Mohamad Thaqif dikatakan dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabkan kecederaan yang mana kedua-dua belah kakinya dipotong pada 21 April lalu, dipercayai akibat jangkitan kuman.

Tangan kanannya yang turut dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya pada pagi 26 April tetapi ditangguhkan berikutan keadaan jantungnya tidak stabil.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.