Hasil negara dianggar berkurangan RM21 bilion tahun ini

Hasil negara dianggar berkurangan RM21 bilion tahun ini
Lim Guan Eng berkata kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi tahun 2018. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Hasil negara dijangka berkurangan sebanyak RM21 bilion bagi tahun ini selepas anggaran kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk tempoh September sehingga Disember 2018 hanya sebanyak RM4 bilion.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi tahun 2018.

Namun, pengurangan kutipan selepas pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mampu diimbangi menerusi beberapa pendekatan.
"Pertama, tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada USD70 setong (Brent) berbanding andaian USD52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

"Kedua, tambahan dividen yang dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Berhad," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanya berapakah jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan dan apakah strategi Kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Selain itu, menurut Guan Eng tambahan dividen ini adalah one-off selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia pada tahun 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018.

Tambahnya, kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu terutama daripada aktiviti transaksi atas talian dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak yang minima kepada pengurangan hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

Kerajaan telah melaksanakan langkah rasionalisasi perbelanjaan dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.