Tutup

Hasrat nikmati rendang ayam terbantut selepas dua ekor ayam ditelan ular sawa

Hasrat nikmati rendang ayam terbantut selepas dua ekor ayam ditelan ular sawa
Ular sawa itu dipercayai masuk melalui bumbung reban dari semak belakang rumah. - Gambar hiasan/Pixabay
ALOR SETAR: Hasrat seorang warga emas untuk menikmati masak rendang ayam bagi sambutan Hari Raya terbantut apabila dua ekor ayam kampung peliharaannya dibaham ular sawa batik di belakang rumahnya di Lorong Haji Wahab, Padang Temusu dekat Sungai Petani pagi tadi.

Aziz Ismail, 71, berkata ular sepanjang kira-kira lebih dua meter itu ditemui kira-kira 7.15 pagi dalam keadaan melingkar kekenyangan setelah dipercayai menelan dua ekor ayam peliharaannya dalam reban di belakang rumah.
"Setiap hari saya akan ke reban ayam untuk lepas ayam dan bagi makan, bagaimanapun keadaan agak sepi...setelah menjenguk dalam reban saya terkejut melihat ular sawa batik sedang melingkar dan sudah kekenyangan.

"Ular sawa itu dipercayai masuk melalui bumbung reban dari semak belakang rumah... saya ingat nak sembelih untuk buat rendang ayam untuk jamuan raya, namun ular sawa lebih 'awal' ceroboh dan makan ayam kami," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sehubungan itu, Aziz kemudian meminta bantuan anaknya, Nur Afishah, 31 untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda untuk menangkap reptilia berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.19 pagi sebelum tiga anggotanya ke lokasi kejadian.

"Anggota APM terpaksa menggunakan peralatan khas untuk menangkap ular sawa batik seberat 11 kilogram. Ular itu kemudian dibawa balik ke pejabat APM Kuala Muda di Sungai Petani sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA


Tag: ular sawa, ayam, reban, ular telan ayam, alor setar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.