Haziq Abdullah Abdul Aziz yang ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Terdahulu Haziq ditahan bagi membantu siasatan polis selepas dia mendakwa dirinya sebagai salah seorang individu dalam video seks yang turut dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet.

Video berkenaan tular di media sosial.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, peguam Haziq, Ramesh Sivakumar berkata dia dimaklumkan oleh pegawai penyiasat (IO) kes berkenaan, Haziq yang ditahan telah dibawa ke balai polis Batu 9 Cheras, Kuala Lumpur dan kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Menurut IO, Haziq tidak akan direman dan akan diberi jaminan polis," katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Haziq ditahan di KLIA.

Berdasarkan tiket, dia dalam perjalanan untuk ke Manila, Filipina.

Difahamkan Haziq ditahan di KLIA kira-kira pukul 5.30 petang.