Tutup

Helah edar dadah dalam bungkusan minuman tidak menjadi, lelaki 51 tahun ditahan

Helah edar dadah dalam bungkusan minuman tidak menjadi, lelaki 51 tahun ditahan
Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah yang dibungkus semula menggunakan paket minuman kopi 3 dalam 1 jenama tempatan. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah yang dibungkus semula menggunakan paket minuman kopi 3 dalam 1 jenama tempatan.

Ia selepas tertangkapnya seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Cheras pada 16 Mei lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, suspek aktif menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu.

“Pada 17 Mei lalu, kira kira jam 12.15 malam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen KL telah ke kediaman suspek di sebuah kondominum di Cheras.
"Polis berjaya rampas dadah serbuk ecstacy 3.74kg, 1.8kg ketamin, pil eramin serta heroin. Dadah dalam bentuk bungkusan pek-pek bungkusan minuman, di mana masa tangkap itu dia (suspek) dalam urusan hendak hantar ke pusat hiburan.

"Kita soal siasat di mana dia dapat barang tersebut, dia supply di pusat hiburan mana. Kita akan ambil tindakan kepada pusat hiburan,” jelasnya.
Siasatan awal mendapati sebungkus pek minuman terbabit yang mengandungi dadah dijual dengan harga di antara RM300-400 di pusat hiburan.

Turut dirampas dalam serbuan itu, barangan kemas, jam tangan jenama Rolex dan sebuah kenderaan jenama Range Rover milik suspek.

Ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif Methampathamine.

Suspek direman selama 7 hari sehingga 23 Mei depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.