Kerajaan menubuhkan pasukan bertindak untuk melakukan penyiasatan berhubung insiden helikopter yang dilaporkan hilang dalam penerbangan dari Betong ke Kuching pada petang Khamis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihak bomba serta polis marin.

LAPOR LANGSUNG: Helikopter dipercayai bawa orang kenamaan hilang di Sarawak

"Sepatutnya pesawat itu yang bergerak pada jam 4.15 petang sampai pada jam 5 petang tetapi hubungan terputus dan kita dapati maklumat ia di kawasan Sebuyau berhampiran laut dan berpaya.

"Polis telah melakukan tindakan termasuk menghantar satu Pasukan Gerakan Am (PGA) dan marin untuk melakukan siasatan dan mereka telah berada di sana selepas laporan dibuat.

"Kita harap rakyat Malaysia mendoakan agar kumpulan SAR ini akan memperoleh maklumat diperlukan untuk kelima-lima penumpang di dalam pesawat yang disewa daripada Filipina ini diperolehi semula," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan, sebuah helikopter dalam penerbangan dari Betong ke sini dilaporkan hilang petang Khamis.

Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu dikendalikan oleh sebuah syarikat helikopter tempatan.

Dipercayai helikopter tersebut membawa beberapa orang kenamaan.