Tutup

Hendak boikot peniaga? Itu kerja persatuan pengguna - Hasan Malek

Hendak boikot peniaga? Itu kerja persatuan pengguna - Hasan Malek
HASAN MALEK: Hendak boikot peniaga? Itu kerja persatuan pengguna - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tugas memboikot peniaga yang berdegil untuk menurunkan harga barangan selepas pengumuman penurunan harga minyak pada Ahad terletak sepenuhnya di tangan persatuan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kementeriannya sentiasa memantau 'gelagat' peniaga yang masih degil untuk menurunkan harga selain perlu mengakui tindakan akan dibuat selepas beberapa prosedur penyiasatan selesai.
"Kita sudah kuatkuasa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, bukan kita tidak buat operasi dan sebagainya.

"Tangkapan juga dilakukan dan banyak kes-kes dalam siasatan. Semuanya ada dilaporkan di media.
"Namun jika isu melibatkan boikot, kita minta persatuan pengguna jalankan segera. Kementerian akan jaga melalui pemantauan dan penguatkuasa. Kalau berjaya boikot itu, saya pasti harga barangan akan turun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan mengulas kedegilan peniaga yang enggan menurunkan harga barangan walaupun kerajaan sudah mengumumkan penurunan harga minyak pada awal Februari.

Dalam pada itu katanya, masyarakat harus faham kuasa kementeriannya yang meliputi semua golongan sasar berkaitan perniagaan serta perdagangan.

"Saya bertemu pembeli, peniaga, pemborong dan semua pihak berkenaan isu ini jadi semua kena faham, saya menjaga semua pihak.

"Pengguna dan persatuan pengguna kena bercakap dan buat tindakan sewajarnya," jelasnya.

Dalam pada itu, media sosial turut 'dikejutkan' dengan status laman Facebook Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu, kedegilan peniaga ini boleh menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.




Status di laman Facebook Ismail Sabri yang mahu pengguna memboikot peniaga yang menaikkan harga tanpa sebab munasabah - Gambar Facebook Ismail Sabri


Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah  menasihatkan pengguna membuat aduan mengenai berkaitan harga barangan yang tidak munasabah.

Tegasnya, aduan daripada pengguna itu akan memudahkan pihak penguatkuasa menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.