Tutup

Henti budaya banding anak orang lain dengan anak kita - Penganalisis jenayah

Henti budaya banding anak orang lain dengan anak kita - Penganalisis jenayah
Jika kita mahu anak kita berjaya dan tidak terlibat dengan jenayah seperti dadah atau masalah sosial lain, hentikan membanding-bandingkan mereka. - Gambar hiasan
MELAKA: "Hentikan budaya membanding-bandingkan anak orang dengan anak kita, sebaliknya ibu bapa perlu meyakinkan anak-anak untuk menerima diri mereka seadanya dan menghargai apa yang dilakukan".

Itu kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim yang juga penganalisis jenayah mengulas mengenai kes kehilangan kanak-kanak atas faktor lari dari rumah.
"Masyarakat kita ada satu budaya yang menjadikan anak orang lain sebagai kayu pengukur kejayaan anak-anak mereka tidak kira dalam peperiksaan atau sukan, yang mana ibu bapa akan sering merasakan anak orang lain lebih baik daripada anak mereka sendiri.

"Tekanan atau desakan piawaian seperti ini akan menyebabkan anak-anak merasakan diri mereka tidak diperlukan dan mereka akan berkata kalau begitu buat apa lagi mereka duduk di rumah?," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program pencegahan jenayah - Kehilangan Kanak-Kanak, Di manakah Silapnya? di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.
Beliau berkata susulan tindakan ibu bapa membanding-bandingkan anak orang lain dengan anak sendiri itu boleh menyebabkan kanak-kanak merasakan diri mereka tidak dihargai oleh orang yang paling rapat dengan mereka di rumah sehingga menyebabkan kanak-kanak merasa menyampah dan marah lalu bertindak lari dari rumah.

"Inilah antara faktor menyebabkan konsep 'Rumahku Syurgaku' tidak dapat dijalankan kecuali ia hanya menjadi sekadar slogan sahaja tanpa kita memahami inti pati kedudukan perkara sebenar.

"Oleh itu, jika kita mahu anak kita berjaya dan tidak terlibat dengan jenayah seperti dadah atau masalah sosial lain, hentikan membanding-bandingkan mereka," katanya.

Kamal Affandi berkata jika anak-anak melakukan kebaikan, ibu bapa perlu memberi motivasi dengan menghargai apa yang dilakukan bagi menaikkan lagi semangat dan membuatkan kanak-kanak itu rasa lebih dihargai selain memberi keyakinan kerana faktor itu penting untuk kejayaan mereka kelak.

Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata sebanyak 15,042 kes kehilangan kanak-kanak dan remaja dilapor dari tahun 2011 hingga Mei tahun ini dan antara punca kehilangan disebabkan mereka dipengaruhi kekasih untuk lari dari rumah dan pertelingkahan serta kurang perhatian keluarga.

-- BERNAMA


Tag: budaya membanding, anak-anak, ibu bapa, penganalisis jenayah, pencegahan jenayah, mcpf, kamal affandi hashim, kes kanak-kanak hilang



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.