Tutup

Henti lakukan tugas kewangan sekolah - Cuepacs

Henti lakukan tugas kewangan sekolah - Cuepacs
AZIH: Kami akan berjumpa dengan ahli-ahli kami dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 1,084 pembantu tadbir (perkeranian/operasi) di sekolah di Perak yang menjalankan tugas kewangan dinasihatkan untuk berhenti melakukan tugas tersebut selepas Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) mereka ditamatkan tanpa notis.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda yang menerima aduan tersebut, menjelaskan penamatan pemberian elaun sejumlah RM40 itu hanya disedari sewaktu kemasukan gaji Oktober baru-baru ini.
"Penamatan pada saat-saat ini amat mendukacitakan kerana ia merupakan satu isu.. kita tahu bahawa petugas di bawah sekolah ini mereka bekerja siang malam, termasuk Sabtu dan Ahad. Namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) suka-suka menghentikan elaun.

"Ini tidak adil kepada mereka yang sudah berkhidmat... jadi saya minta pembantu tadbir ini supaya hentikan kerja kewangan dan tidak lagi laksanakan tugas-tugas kewangan," katanya kepada media selepas majlis sambutan ulang tahun ke-62 kesatuan itu, di sini pada Rabu. 
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) yang merupakan ahli gabungan Cuepacs untuk mengadakan pertemuan dengan 1,084 pembantu tadbir yang terlibat.

"Kami akan berjumpa dengan ahli-ahli kami dahulu bagi mendapatkan gambaran sebenar tapi sebelum kami berjumpa, kami mengharapkan maklum balas daripada KPM apakah rasional tindakan ini dan kenapa ini berlaku sekarang," jelasnya.

-- BERNAMA